Selasa, 2 Oktober 2012

Refleksi Keseluruhan BMM3105(P&P Berbantukan Komputer)

Assalamualaikum wbr., salam 1 Malaysia kepada semua rakan web sekalian.
         Terlebih dahulu dipanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi, kerana dengan izin dan inayahNya, maka dapatlah saya menyiapkan kerja kursus untuk subjek Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer (BMM3105) ini. Kesempatan ini juga, tidak dilupakan kepada pensyarah yang bertanggungjawab memberi tunjuk ajar, membimbing dan sentiasa dalam keadaan sabar menghadapi karenah dan tingkah laku yang pelbagai dari kami semua.
          Dewasa ini pelajaran Bahasa Melayu adalah semakin mencabar. Kewujudan sumber-sumber ICT membuatkan pelajaran ini semakin mencabar kredibiliti para guru. Guru perlu memainkan peranan yang sesuai dengan arus perdana. Kebolehan mengaplikasikan kemahiran berkomputer merupakan suatu bonus bagi para guru. Namun, terdapat sebilangan kecil daripadanya yang masih ketinggalan.
           Pendekatan pengajaran menggunakan kemudahan ICT mampu menarik minat pelajar untuk belajar dengan lebih mendalam lagi mengenai sesuatu tajuk pelajaran. Guru yang berkemahiran pastinya tidak menghadapi masalah. Pun begitu, pihak kementerian telah banyak membelanjakan kos untuk menghasilkan alat atau bahan bantu mengajar berteraskan ICT bagi memudahkan dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran merentasi kurikulum.
           Sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang amat mencabar masakini, pelajar sebenarnya lebih tertarik jika seseorang guru dapat mengaplikasikan pengajarannya menggunakan teknologi semasa dengan baik. Oleh itu, kursus ini banyak memberi manfaat dan kelebihan kepada saya untuk menggunakan kemahiran yang diperoleh bagi membina bahan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai semasa di sekolah.
           Sepanjang menjalani kursus ini terutamanya dalam membina laman web ini, banyak pengalaman dan ilmu serta kemahiran baru yang saya perolehi. Sesungguhnya, sebagai seorang pendidik yang telah lama mengajar, pengalaman dan pengetahuan baru haruslah digarap sebanyak mungkin sebagai penambahan dan bekalan ilmu setelah tamat pengajian nanti.
           Menjalani kursus ini, secara tidak langsung saya belajar cara bagaimana mencari dan mengesan maklumat, mengumpul dan menyimpan bahan pengajaran dan sebagainya yang selama ini dilakukan secara manual. Semua ini merupakan input baru dalam kerjaya saya sebagai seorang guru.
           Saya sedar bahawa sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang pelbagai, menarik dan menyeronokkan para pelajar. Pemerolehan ilmu menghasilkan bahan menggunakan power point, penghasilkan video dan lain-lain akan saya manfaatkan sebaik mungkin.
           Perkembangan telekomunikasi yang serba canggih yang boleh dicapai di hujung jari sahaja, menjadikan kursus ini amat penting bagi saya yang perlu seiring dengan kehendak pelajar masa kini. Kebolehan mengaplikasikan  kemahiran ini akan menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih mudah di samping dapat mempertingkatkan kemahiran pelajar dalam menggunakan kemahiran TMK.
          Kesimpulannya, kursus ini memberi peluang dan ruang kepada saya dalam memperbaiki diri yang serba kekurangan dalam bidang ICT khususnya dalam proses P&P sepanjang perkhidmatan saya kelak. Akhir kata, segala pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang dimiliki sepanjang mengikuti kursus ini diharapkan dapat dikembangkan dan digunakan semaksimum mungkin. Terima kasih atas segala budi dan jasa. Harta yang dikumpul akan berkurangan akhirnya tetapi ilmu pengetahuan akan berkembang dan berkekalan selamanya selagi ianya diamalkan. InsyaAllah.  Terima Kasih.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan